JURNAL @ MENULIS... 📚Tangani Depression
Assalamualaikum sahabat.... Hampir berakhir bulan Mac... Tak lama lagi tibanya bulan suci Ramadhan... Alhamdulillah, bersyukur sangat-sangat sebab Allah panjangkan umur Sue untuk bertemu dengan Ramadhan yang seterusnya... Ramadhan yang baru dan lebih bermakna buat Sue dan sekeluarga.... InsyaAllah...
Masuknya bulan Mac bermaksud bulan temujanji Sue dengan Pakar Psikiatri... Tapi, baru hari ni Sue teringat nak semak kad temujanji Sue.... Lahaiiiiiiii....rupanya dah terlepas tarikh 23 Mac 2022 yang lepas... Nak set tarikh temujanji baru ke? Rasanya tak perlu buat masa sekarang ni... Sue hampir terlupa dengan temu janji tu pun sebab Sue rasa semakin ok dan boleh kawal... InsyaAllah...
Sue ada banyak temujanji Hospital, sebab tu selalu lupa nak semak tarikh... |
Sue dah berhenti ambil ubat 💊 yang hospital bekalkan... Sebenarnya Sue masih dalam rawatan, tapi Sue sendiri yang tak makan ubat sejak Disember 2021 lepas... Sue rasa macam dah semakin okay, nak cuba berhenti ubat dan cuba kawal sendiri dengan cara sendiri...
Bulan pertama Sue berhenti memang susah dan tak terkawal. Minda Sue rasa bercelaru dan tak stabil... Tapi Alhamdulillah bulan kedua bertambah baik dan Sue mampu... Sebenarnya, depression ada banyak cara untuk kawal.... Banyakkan membaca dan cari ilmu, InsyaAllah boleh.... Sue try & error jugak untuk buat apa yang sesuai untuk Sue, sebab tak semua cara serasi dengan kehidupan dan cara kita....
TAPI....BUKAN KAWAL MEMBABI BUTA ye.... Depression yang berat MESTI MAKAN UBAT dan RUJUK PAKAR PSIKIATRI... Sue boleh kawal sendiri sekarang sebab Sue dalam proses sembuh selepas mengambil ubat... Depression tak akan semena-menanya boleh hilang macam tu je tanpa berubat... Kalau tak dirawat dengan betul, keadaan boleh bertambah teruk dari sebelumnya... Jadi apa yang Sue buat ni adalah SELEPAS Sue mendapatkan rawatan dan keadaan semakin bertambah baik... InsyaAllah...
__STRESS KEHIDUPAN bukan DEPRESSION__
Kalau orang yang tak faham dan tak mengalami sendiri, dia akan jawab dan komen macam ni...
"Alahhhh, aku pun hari-hari hadap depression, ok je pun... Tak payah ubat, cool je boleh kawal..."
Ok laaaa, orang ni tak perlu bercakap dengan Sue, buat sakit otak je nak terangkan sebab dia memang tak kan faham satu apa pun... Lantak lah kan... Sebab orang macam ni biasanya akan bangga bagitau dia ada depression dan stress gila babi dengan kehidupan dia kat semua orang... Dan orang yang betul-betul ada depression, korang susah nak tahu, dan biasanya akan tahu bila dah betul-betul teruk, sebab benda tu bermain kat dalam minda tanpa sedar... itu yang bahayanya...
-------------------------------------------
Alhamdulillah dengan apa yang Sue rasa sekarang ni... Rasa tenang sangat dengan kehidupan walaupun tetap ada sedikit gangguan dari keliling (Distraction). InsyaAllah Sue boleh hadap dengan perangai hati kering Sue ni... Kita kena terima hakikat, kehidupan ni bukan mudah dan tak akan berjalan seperti apa yang kita inginkan.... Ujian dan cabaran tu tetap ada tak kira bagaimana sempurna sekalipun kita kawal semua perkara...
JURNAL... Salah satu perkara yang Sue buat selepas berhenti ambil ubat-ubatan... Sebenarnya pendekatan yang Sue ambil adalah Jurnal, Alam, Hobi dan Remove Toxic... Tapi Sue terangkan tentang Jurnal dulu dan macam mana jurnal boleh membantu...
Apa yang pasti, kesembuhan tu bukan bersifat kekal, itu je jaminan yang doktor bagi... Kalau timbul sesuatu "trigger" di luar jangkaan, benda ni boleh datang balik, kembali ke pakar psikiatri dan jangan disimpan...
Sue jenis tak banyak bercakap, mungkin sebab tu Sue cenderung untuk buat jurnal dan menulis blog sebagai terapi... Berkesan untuk Sue, tapi mungkin tidak untuk mereka yang tak minat menulis...
Walaupun apa yang ditulis tu kadang-kadang mengarut, mencarut dan luahan kosong, tapi sangat membantu untuk mengosongkan kekusutan fikiran dan senang untuk kenal pasti apa sebenarnya yang mengganggu untuk hari-hari tertentu...
_Bagaimana JURNAL Membantu_
1. AWARE - Membuatkan kita lebih sedar
Menulis dan meluahkan perasaan kat dalam jurnal akan bantu kita untuk mengenali diri dan menyelami hati dengan lebih baik. Tak semua perkara yang menyakitkan mampu untuk diluahkan dengan kata-kata, jadi menulis adalah pilihan di kala mulut terkunci dan hati menyimpan segalanya....
Selesai menulis, kadang-kala kita sendiri terkejut dengan apa yang diluahkan. Tanpa sedar kita menangis dan terasa lega selepas segala bebanan hati dilepaskan pada tulisan...
2. CONTROL - Membolehkan kita mengawal dan bukan dikawal
Cuba jawab persolan emosi ni... |
Apabila fikiran bercelaru dan serabut, menulis membantu mengurangkan dan meleraikan apa yang kusut. Dengan membuat catatan membolehkan kita berfikir dan memilih keputusan serta tindakan seterusnya... Persoalan, adakah kita mampu menyelesaikannya kekusutan itu atau tidak... Selepas menulis dan menjawab persoalan barulah kita sedar sama ada kita memerlukan bantuan dari pihak lain atau sebaliknya...
3. SHIFT - Menukar pandangan
Menulis jurnal akan melatih otak menyingkirkan perasaan negatif... Di dalam jurnal Sue, ada ruangan khas yang tertulis "Today I am Grateful For" dan "Today's Goals" .... Ruang itu akan Sue isi setiap hari dan menjadi ketetapan serta peringatan yang baik untuk Sue sentiasa menjadi positif...
Seseorang yang mengalami depression cenderung menimbulkan perasaan negatif di dalam diri.. Jadi, banyakkan menulis kenangan yang menggembirakan dan sesuatu yang boleh kita syukuri pada setiap hari walaupun mengalami hari-hari yang buruk... Ingatlah....
"DISEBALIK AIR MATA, PASTI AKAN ADA SENYUMAN...
DISEBALIK LUKA, PASTI ADA PENYEMBUH...
DISEBALIK KESABARAN, PASTI ADA KEBAHAGIAAN...
DISEBALIK KESULITAN, PASTI ADA KEMUDAHAN..."
4. PATTERN - Mengenalpasti faktor
Jurnal jugak membantu untuk mengenalpasti perubahan dalam diri, selain mudah untuk mengesan faktor yang menyebabkan berlakunya tekanan. Bila kita sedar "orang" dan "situasi" tersebut menyebabkan kita tertekan, cuba elak dan keluar dari situ.
Dalam suatu tempoh, cuba lihat balik pada kisah-kisah yang ditulis sebelumnya... Adakah perubahan menjadi semakin baik atau buruk... Jika semakin buruk, mungkin kita perlukan bantuan rawatan dan jangan dibiarkan...
_Cara Mengisi JURNAL_
Sue tak katakan ini adalah cara yang betul untuk menulis jurnal, cuma Sue rasakan cara ini adalah pendekatan yang terbaik untuk ke arah lebih positif... Kerana tujuan menulis Jurnal adalah untuk meluahkan dan menstabilkan perasaan agar lebih mudah untuk kita meneliti dan memahami diri sendiri..
1. LEPASKAN
Jangan ada batas bercerita... Biarkan isi hati mengalir dengan bebas tanpa sekatan... Kerana kita sedang bercerita pada diri sendiri dan bukan pada sesiapa... Tak siapa akan menilai kisah kita dan apa yang berlaku pada kita... Kosongkan fikiran dan lepaskan semuanya di dalam buku atau di atas kertas...
2. RUTIN
Jadikan menulis sebagai rutin harian... Cari ruang dan suasana yang sesuai untuk menulis... Seperti Sue sendiri, Sue perlukan keadaan yang tenang dan sunyi.... Biasanya Sue memilih di waktu petang, jam 5-6 petang, ketika pejabat sunyi tanpa sesiapa... Itulah ruang ketenangan untuk Sue menulis dan meluah apa saja yang terjadi di sepanjang hari disamping menasihati dan motivasi diri tentang apa yang perlu dilakukan esok agar lebih baik...
3. PERKARA BARU
Selain luahan, cuba tulis surat pada diri atau pada seseorang yang tiada lagi bersama kita... Tulis kata-kata semangat dan menghiburkan hati dengan membayangkan kata-kata dari orang tersayang...
Hiasi jurnal dengan gambar-gambar, pelekat yang menarik dan kreatif supaya rutin harian tidak terasa bosan dan sentiasa terhibur setiap kali melakukannya...
4. POSITIF
Bila kita sedar bahawa penulisan kita bersifat negatif, cuba alihkan pemikiran pada kisah lain yang lebih menenangkan dan mengembirakan... Dibolehkan untuk menulis perkara negatif sebagai luahan, tapi cuba tetapkan LIMIT dan minimumkan diri dari mengenang perkara-perkara buruk dalam kehidupan seharian terlalu lama.
Elakkan untuk membaca semula kisah-kisah buruk, cukuplah sekadar dijadikan luahan bagi mengosongkan fikiran. Tanda, buang atau lekatkan muka surat kisah buruk yang lepas untuk mengelakkan dari terbaca.
5. PERMUDAHKAN
Tetapkan matlamat untuk memastikan diri menulis dan mencatat segala yang berlaku... Letakkan jurnal di tempat yang sudah pasti kita akan menulis di situ. Seperti laci katil, dalam beg, dalam kereta, laci pejabat atau komputer... Terapkan pada diri bahawa, "No matter what I write, I know I feel better after I do it."
Sebab Sue tahu, hati Sue akan terasa lapang selepas Sue menulis kesemuanya...
.
.
.
.
.
SEMOGA BERMANFAAT.... InsyaAllah.....
Comments
Post a Comment