Telur Padi HomeMade🥚


TELUR PADI atau nama lainnya CENTURY EGG!!! Makanan tradisi istimewa bagi masyarakat Cina yang dah wujud sejak berabad sebelum Dinasti Ming lagi... Walaupun namanya Century Egg atau Telur Berabad, tapi proses untuk hasilkan hanya mengambil masa 4-5 minggu je sekiranya dihasilkan dengan proses yang betul... 

Secara tradisinya, telur padi dihasilkan dengan mengawet telur puyuh, ayam atau itik ke dalam campuran garam, kapur dan abu, kemudiannya dibungkus dalam sekam padi bercampur tanah dan diperam selama beberapa minggu... Proses ini akan mengubah pH telur dan memecahkan protein dan lemak kepada pecahan lebih kecil dan kompleks... Selesai proses peraman, kuning telur akan bertukar menjadi hijau gelap berkrim manakala putih telur akan berubah menjadi jeli jernih berwarna coklat gelap...
Nak cuba hasilkan telur padi sendiri??? Jum ikut proses ni betul-betul ye.... 

**Tak kisah telur puyuh, ayam atau itik... Masa dan prosesnya tetap sama... Jangan skip satu pun langkah atau jangan salahkan Sue kalau telur padi tak menjadi... 😁

---------------------------

LANGKAH 1 : Penyediaan Bahan dan Radas


Bahan-bahan : 
Air
NaOH (Sodium Hydroxide) 100% - Alkali/ Kaustik Soda/ Iye
NaCl (Sodium Chloride) - Garam
Telur Puyuh, Ayam atau Itik

Radas :
Penimbang
Botol Kaca Bertutup (Bikar)
Bubble Wrap
Cling Wrap
Bekas Hitam (Plastik Hitam)

** Sifat lye / NaOH adalah menghakis dan bukan beracun. Jadi agak berbahaya jika di kendalikan terus menggunakan tangan kerana boleh menyebabkan hakisan dan melecur pada kulit. Gunakan sarung tangan atau sudu ketika melakukan sukatan.
Pastikan menggunakan NaOH tulen, 100%.

LANGKAH 2 : Penyediaan Larutan


Timbang bahan-bahan berikut :
1 Liter Air
42g NaOH (Sodium Hydroxide) / Kaustik Soda
72g NaCl (Sodium Chloride) / Garam

- Masak sehingga air mendidih dan semua bahan larut sepenuhnya. 
- Sejukkan larutan yang telah disiapkan.

LANGKAH 3 : Penyimpanan


Setelah larutan sejuk, masukkan telur ke dalam bekas dengan berhati-hati dan tutup rapat. Sue tak ada botol kaca bertutup, jadi Sue hanya gunakan bekas bikar besar yang ditutup ketat dengan plastik dan getah. 

PASTIKAN :
- Telur telah dicuci bersih dan tidak retak atau pecah.
- Kesemua telur berendam dalam larutan dan tak ada yang timbul.
- Tidak diletakkan di tempat yang panas (Suhu Bilik)

Rendam telur selama 10 hari. 
Untuk pastikan Sue tak lupa, Sue tulis tarikh dan letakkan kat tepi meja kerja Sue. Jadi hari-hari Sue boleh pantau keadaan telur tu... Selain tu, cantik jugak dijadikan perhiasan meja sementara... 😂

LANGKAH 4 : Keluarkan dari larutan


Selepas 10 hari, keluarkan telur dari larutan, cuci bersih dan keringkan dalam 1 jam. Pada masa ini, warna kulit telur telah berubah menjadi sedikit kelabu dan masih keras.

                Sebenarnya, sekitar 3 hari proses dah ada beberapa biji telur mula retak dan boleh dilihat dari luar bekas. Tapi Sue biarkan dan tak ganggu keseluruhan proses. Mungkin dari hari pertama, Sue tak periksa betul-betul keretakan pada kesemua telur tu, sebab telur puyuh terlalu kecil dan sangat mudah pecah.
Dalam proses pembersihan, tak ada bau busuk walaupun telur banyak yang pecah. 12 biji telur rosak berubah menjadi keras dan terbuka dengan sendirinya. Bersihkan telur yang masih elok dan keringkan dengan berhati-hati.

LANGKAH 5 : Pembungkusan kedap (Encase)


Secara tradisionalnya, telur padi dibungkus dengan sekam padi bercampur tanah dan di peram selama beberapa minggu. Tapi cara moden boleh diubah suai mengikut kreativiti dengan syarat TIADA UDARA dan TIADA CAHAYA masuk menembusi telur sepanjang proses pemeraman 3 minggu.
                Untuk pastikan tiada lagi pembaziran telur yang pecah. Sue balut satu-persatu telur dengan Bubble Wrap dan simpan ke dalam kontena yang dibalut dengan cling wrap dan plastik hitam. 
Label tarikh pada bekas dan simpan di dalam almari selama 20 hari.

LANGKAH 6 : Siap dan BUKA!!!


Selepas sebulan melalui proses penuh... Dari 4.2.2022 hingga 7.3.2022, telur dah siap untuk dilihat hasilnya... Buka telur dengan berhati-hati di tempat yang selamat, risau pulak kalau tak menjadi nanti berbau busuk semeja dibuatnya... Hahahhaha... 🤣
Tapi pada masa ini, sepatutnya telur sudah siap. Putih telur berubah menjadi jeli jernih berwarna coklat dan kuning telur pulak tekstur berkrim warna hijau gelap.


Untuk penggemar telur padi macam Sue pasti tahu betapa sedapnya telur ni... Walaupun boleh dibeli dengan mudah di kedai, tapi Sue tetap seronok bila dapat hasilkan telur padi Sue sendiri... Sebulan Sue tunggu hasilnya, Alhamdulillah menjadi jugak....🥰

Nak cuba tak? Seronok tau buat eksperiment sendiri...

Comments

Popular posts from this blog

Stalker, Pendengki & Batu Api🔥

Bengoh Dam, Jurassic Park Sarawak🐾

Bung Bratak Heritage Centre 🌲