Sri Maha Mariamman Temple🛕


Assalamualaikum... Hari ni Sue panjat naik ke Kuil Sri Maha Mariamman untuk mengisi masa di hujung minggu... Sebelum tu, Sua nak kongsi sikit pasal Sejarah Kuil ni... Sebab diumur 34 tahun, baru sekarang Sue dengar pasal tempat ni. Walaupun lokasi nya dalam 20minit je jarak dari rumah Sue... Dekat kan??? Tapi Sue baru dapat tahu dalam tahun lepas yang tempat ni wujud.... 😄

--------------------------------
SEJARAH - SEJARAH - SEJARAH
--------------------------------
The Lost Temple Of Sarawak nama diberi... Kerana hampir setengah abad HILANG DI DALAM HUTAN.... Kisah penemuannya dari sumber Poison Apple macam ni... 🤔

                Pada tahun 1968, seorang pemburu bernama Abi bin Benggali yang berbangsa Bidayuh/Melanau (Kurang pasti) secara tak sengaja menjumpai sebuah senibina terbiar di tengah-tengah hutang Matang ketika dia mencari tempat berteduh semasa ribut petir. Abi tertarik dengan penemuannya kerana bahagian dalam senibina tersebut diperbuat daripada kayu belian dan masih kukuh walaupun terbiar lebih setengah abad.




                Sewaktu Abi meneroka kawasan senibina itu, dia menemui sebuah patung gajah yang diperbuat daripada kayu, dan inilah yang membuktikan bahawa senibina itu adalah sebuah Kuil Hindu. Oleh kerana tertarik dengan patung gajah tersebut, Abi telah membawanya pulang ke rumah dan menyebabkan sesuatu telah berlaku pada Abi. 

                Menurut cerita yang dilaporkan oleh The Borneo Post, rumah Abi bergegar dengan kuat pada malam tersebut. Dipercayai kejadian itu disebabkan oleh ribut petir dan kilat yang menyasarkan pada rumah Abi. Dalam masa yang sama, Abi juga bermimpi bahawa dia harus memulangkan semula patung gajah tersebut kembali ke Kuil yang ditemuinya di dalam hutan. Disebabkan peristiwa itu, Abi terus mengembalikan semula patung itu ke kuil pada keesokan harinya. 
Abi berkongsi cerita tentang kejadian tersebut dan kisah penemuan kuil itu tersebar dan sampai kepada pengetahuan masyarakat Hindu tempatan di Kuching.

                Menurut warga tua dari masyarakat Hindu, mereka pernah mendengar kisah tentang kuil ini dari ibu bapa mereka. Kuil ini berkait rapat dengan kedatangan Nenek Moyang masyarakat India ke Sarawak pada masa itu yang datang untuk bekerja di Ladang teh dan kopi. Kuil tersebut dipercayai dibina oleh pekerja India dan Ceylon yang direkrut oleh Charles Brooke, Rajah Putih Sarawak kedua pada tahun 1867. 

Charles Brooke, Rajah Putih Sarawak

                Menurut laporan oleh Poison Apple, beberapa pekerja telah dibuang negeri dari India Selatan untuk bekerja di Ladang kopi dan teh Sarawak dalam "Sistem Kangani" pada pertengahan abad kesembilan belas.

                Kuil ini dibina oleh pekerja Hindu Tamil yang didedikasikan untuk Ibu Dewi Sri Maha Mariamman (Amman). Setelah siap dibina, seorang Sami telah dibawa masuk dari India untuk menyucikan kuil tersebut. Sejak itu, lebih ramai pekerja asing dibawa masuk dan ada beberapa laporan menyatakan bahawa ada lebih daripada 2000 orang pekerja dari India dan Ceylon (Sri Lanka) datang untuk bekerja di tanah berkeluasan 600 ekar tersebut.
                Dikatakan pada masa itu, industri teh dan kopi berada pada tahap ekonomi yang tinggi dan sangat baik. Walaubagaimanapun, kehidupan tidak mudah bagi semua pekerja. Mereka dibayar gaji yang rendah dan sering ditindas oleh mandor (Dikenali sebagai Kangani). 
                Menurut sumber, Kuil Mariamman bukanlah satu-satunya rumah ibadat yang dibina pada masa itu. Kuil Murugan juga telah dibina apabila bilangan pekerja Hindu semakin bertambah. Pekerja beragama Kristian pula membina The Chapel For Blesses Virgin Mary, dan terdapat 2 buah rumah Solat untuk perkerja beragama Islam dan sehingga sekarang masih belum dijumpai.
                
                Ladang itu kemudiannya di tutup pada sekitar tahun 1912 disebabkan oleh sistem pengurusan yang lemah. Pekerja pula telah diberikan pilihan samada untuk kembali semula ke India atau berkerja dalam sektor pembinaan jalan di Kuching. Disebabkan oleh pengalaman buruk mereka yang bekerja dibawah "Sistem Kangani", kebanyakan mereka telah memilih untuk kembali semula ke India dan Ceylon (Sri Lanka). Dikatakan hanya ada lebih kurang 50 keluarga yang memilih untuk terus menetap di Sarawak. Pekerja muda yang tinggal telah membawa patung gangsa Ibu Dewi Sri Maha Mariamman (Amman) ke sebuah Kuil kecil yang dibina berdekatan dengan Sarawak Club di Kuching.

                Pada tahun 1991, sebuah Kuil baru yang besar telah dibina di Jalan Rock dan patung gangsa juga dipindahkan ke kuil tersebut dan kekal sehingga ke hari ini. Disebabkan kesemua pekerja India telah berhijrah keluar dari ladang, maka Kuil di Matang telah terbiar. Jika bukan kerana senibina kuil tersebut diperbuat daripada kayu belian, mungkin Kuil itu tidak lagi wujud dan telah roboh.

---------------------------

Sejak cerita Abi tersebar, masyarakat Hindu di Kuching telah mula berkempen untuk memulihkan semula Kuil bersejarah itu. Ekspidisi yang dilakukan sekitar tahun 1968 telah menemukan jalan yang dibina pada zaman Brooke. Mereka kemudiannya membina jalan yang lebih elok bagi memudahkan perjalanan ke Lokasi Kuil.


                Kerja baik pulih telah disiapkan pada 4 Disember 1970 dan diletakkan dibawah penjagaan Persatuan Kuil Hindu Kuching di Jalan Ban Hock. Perhimpunan keagamaan juga telah dilakukan dan dihadiri oleh masyarakat Hindu di Sarawak.


                Pada 2007, sekali lagi kerja baik pulih telah dilakukan dan siap sepenuhnya pada tahun 2011. Kuil Maha Mariamman yang baru telah dibina semula dengan menggunakan kayu belian bagi mengekalkan keaslian asal usul Kuil tersebut. Terima kasih pada Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak kerana memberikan kebenaran untuk menebang Pokok Belian bagi tujuan pembinaan.

James Lionel Brooke dan Jason Desmond Brooke

Sambutan Poojai telah dilakukan ketika merasmikan Kuil tersebut dan dihadiri oleh ratusan penganut Hindu. Majlis turut dihadiri oleh James Lionel Brooke dan Jason Desmond Brooke. Mereka adalah cucu dan cicit kepada Rajah Putih terakhir, Charles Vyner Brooke.
                Hari ini, Kuil tersebut merupakan Senibina yang paling unik di Sarawak dan Malaysia. Terima kasih kepada Mount Matang Sri Maha Mariamman Temple, Kuching, Wikipedia (Sistem Kangani) dan Poison Apple untuk maklumat yang berkenaan...😄

------------------------------
------------------------------
------------------------------
------------------------------
Kini, Kuil Mariamman terbuka untuk di lawati orang awam. Walaubagaimanapun, hormati setiap agama dan adat resam. Jangan sesukahati ketika masuk ke kawasan kuil ye... 😊

Adab Di Kuil

Perjalanan untuk naik ke kuil lebih kurang 1 jam, sepanjang 3km mendaki bukit jalan Tar... Perjalanan agak mudah dan selamat... Nak bawa budak-budak pun boleh sebab memang tak berbahaya...


Sepanjang perjalanan naik, akan berjumpa 3 buah kuil kecik... Base temple kat kaki bukit, 2nd kuil di point 2.5km dan kuil terakhir adalah Kuil Maryamman itu sendiri...

1st Kuil @ Base Temple

2nd Temple kat Point 2.5km

Kuil Utama, Kuil Maryamman di puncak tangga

Sebelum mendaki tangga untuk ke Kuil Maryamman, sila buka Kasut atau Selipar ye bagi menghormati rumah ibadat mereka... Ada disediakan pondok untuk meletak kasut, InsyaAllah tak hilang. Jangan risau lah ye... 😃

Pondok meletak kasut dan selipar


Kuil Sri Maha Maryamman 🛕

Dah sampai kat atas, bolehlah ambil gambar dari atas bukit... Permandangan memang cantik, tapi jaga adap dan jangan buat bising okay... Hormati bangsa dan agama lain jugak... 😄
                Dalam perjalanan balik, kalau masih larat nak teruskan, boleh belok ikut jalan trek hutan untuk melihat Banglo Charles Brooke pada zaman pemerintahan Beliau...

Simpang masuk ke Banglo Charles Brooke

Laluan hutan masuk ke Banglo

Tapi malangnya... Sue tak mampu nak teruskan perjalanan sehingga ke Banglo tersebut... Disebabkan musim hujan kebelakangan ni, ada pokok tumbang yang menghalang jalan trek ke Banglo tersebut...

Laluan tersekat oleh pokok tumbang musim hujan

InsyaAllah.... Kalau ada rezeki untuk datang lagi ke sini kemudian hari, mungkin Sue akan cuba masuk lagi untuk tengok bagaimana Banglo Charles Brooke...

Comments

Popular posts from this blog

Stalker, Pendengki & Batu Api🔥

Bengoh Dam, Jurassic Park Sarawak🐾

Bung Bratak Heritage Centre 🌲